top of page

ILMU HITAM, ILMU PUTIH DAN RAWATAN RUQYAH.

Di dalam ilmu rawatan bagi penyakit yang bersangkutan dengan gangguan makhluk-makhluk halus khususnya sihir. sebenarnya ada 3 jenis golongan tukang ubat.

Justeru itu anda perlu kenali mereka supaya tidak tersilap mendapatkan rawatan. Jika tidak, anda bukan sahaja telah melakukan syirik, malahan masalah anda akan menjadi berlipat kali ganda. Ada golongan yang menggunakan ilmu-ilmu masing-masing untuk melakukan tugasan tersebut. Ilmu-ilmu yang saya maksudkan itu adalah ILMU HITAM, ILMU PUTIH dan RAWATAN RUQYAH.

Ada perbezaan yang sangat ketara antara ILMU HITAM dengan ILMU PUTIH dan begitu juga antara ILMU PUTIH dengan RAWATAN RUQYAH. Akan saya kupaskan sedikit, berdasarkan pengetahuan saya in sha Allah.

ILMU HITAM:
Mereka dikenali sebagai bomoh, dukun, orang pintar atau pawang. Mereka lebih senang di panggil Tok, Sheikh atau nama-nama yang dieja dari depan ke belakang atau dari belakang ke hadapan sama, misalan Soros. Nama yang digunakan bukanlah nama sebenar mereka kerana mereka sendiri takut dikenakan sihir oleh pihak lawan jika nama sebenar mereka diketahui.

Ilmu yang mereka gunakan kita dapat kategorikan sebagai ILMU HITAM. Mereka akan membacakan mantera-mantera dalam rawatan mereka. Mantera-mantera tersebut ada yang tidak dapat anda fahami langsung, ada yang mengelirukan dan ada yang menyeru roh-roh alim ulama yang telah meninggal dunia. Kononnya mereka dapat bersatu dengan si tukang ubat itu lantas dapat merawat si pesakit tersebut.

Adakalanya, mereka akan berada dalam keadaan menurun lalu benda-benda mereka akan masuk kedalam badan mereka untuk memberitahu mereka sesuatu informasi. Adakalanya kelihatan biasa sahaja, dengan kepantasan tangan dan teknik memperdayakan pesakit serta ahli keluarga dengan tipu daya mereka.

Rata-rata mereka akan berubat dalam gelap atau cahaya yang malap. Ada yang menggunakan bersama kain-kain yang berwarna kuning, merah, hitam, hijau dan putih. Ia kononnya melambangkan tahap "kekuatan" ilmu masing-masing. Mungkin di gantung ataupun di rentangkan di meja. Kain-kain tersebut sebenarnya telahpun dibacakan dengan mantera-mantera dan diisikan dengan benda-benda mereka yang akan membuatkan orang-orang yang datang berubat merasa gerun pada mereka dan mudah ditundukkan.

Antara ciri-ciri golongan bomoh termasuk lah:
• meminta diadakan sesuatu yang bukan-bukan seperti ayam hitam, dedaunan yang pelik-pelik dan sebagainya
• Merawat perlu ikut waktu, bulan, air pasang dan sebagainya
• Tidak membaca ayat-ayat al Quran, hadis mahupun perkataan-perkataan yang difahami dan juga masuk akal (eg seru roh-roh orang yang telah meninggal dunia).
• Terima upahan dengan jumlah yang pelik-pelik seperti $333.33. Biasanya mereka akan memanggil upah tersebut sebagai pengeras, mahar atau maskahwin.

 

Tugasan mereka:
Scan, menjalankan sihir dan "merawat" orang melalui mantera-mantera mereka. Jika benda-benda mereka tidak dapat mengatasi lawan, mereka akan masukkan kedalam badan pesakit tersebut supaya pesakit akan terus datang ke tempatnya untuk berubat.

ILMU PUTIH:
Sebenarnya bagi pendapat saya tidak ada istilah ILMU PUTIH. Kalau ilmu itu ada berkhadamkan jin, maka ilmu itu tetap syirik. Ilmu sebegini anda akan dapati mereka menggunakan al Quran sebagai bacaan bagi rawatan mereka.

Dalam pada itu juga mereka ada menggunakan khadam (jin) untuk berkhidmat pada mereka. Tiada yang namanya khadam malaikat di sini kerana melaikat bukan diciptakan untuk berkhidmat pada manusia. Mereka takut ada sesuatu yang akan terkena pada mereka kerana mereka tolong orang lalu mereka menggunakan jin sebagai penjaga mereka dan dampingan mereka dan juga untuk memberi informasi pada mereka jika ada orang yang ingin kenakan mereka. Jin-jin ataupun khadam tersebut diambil bersama-sama perjanjian dan meminta sesuatu dari tuannya sebagai cagaran dan sajiannya. Anda lihat orang-orang sebegini dirinya dan ahli keluarganya akan mudah jatuh sakit. Mereka akan mengenakan pakaian seperti biasa sahaja. Ada yang berjubah, berbaju kurung, bersarban dan bersongkok seperti biasa.

Ciri-ciri mereka:
• Ada yang merawat dengan berselimpang (untuk "disebat" jin sewaktu rawatan).
• Mengenakan cincin, mempunyai keris kecil, kayu dan pin sematan bagi wanita. Kesemua selimpang, keris, cincin, kayu dan pin tersebut telahpun diisikan dengan khadam mereka.
• Ada yang membacakan Al Quran dengan terang dan ada pula yang membacakan Al Quran dengan sebutan yang diragukan. Mungkin dengan sengaja disebut dengan tidak betul ataupun disebut dengan tidak terang. Sekejap kuat, sekejap tidak kedengaran langsung.


Tugasan mereka:
Scan, meskipun bukan di saat rawatan dijalankan dengan menggunakan khadam dan merawat. Jika khadam mereka tidak dapat mengalahkan lawan, benda-benda mereka akan dimasukkan kedalam badan pesakit supaya pesakit akan rasa senang berubat dengannya dan akan terus datang padanya. Dalam istilah sales sebagai "repeat customers dan tidak perlu hard sell". Mereka tidak menjalankan kerja sihir.

RAWATAN RUQYAH:
Rawatan yang hanya bersandarkan pada bantuan Allah swt semata-mata bukan atas dasar ilmu-ilmu atau amalannya mahupun pengalamannya. Segala kesembuhan itu adalah milik Allah swt dan perawat tiada peranan dalam menentukannya. Hanya sekadar memberikan nasihat-nasihat ke arah kesembuhan pada pesakit serta keluarganya.

Perawat tidak menggunakan khidmat mana-mana makhluk sebagai pembantunya. Dalam rawatan ruqyah, Muallij perlu 100% berserah dan bertawakkal pada Allah swt termasuk apa jua imbalan yang bakal terkena padanya serta ahli keluarganya dengan sebab Muallij mencampuri urusan orang lain, iaitu mengendalikan urusan rawatan kes-kes sihir tersebut.

Bagi Rawatan Ruqyah, bacaan al Quran serta doa mereka akan jelas kedengaran semasa rawatan dijalankan.

Wallahu a'lam.

bottom of page