Sihir Antara Suami Isteri
Sihir antara suami isteri. Antara barang dan sihir.
​
Percaya atau tidak perkara-perkara sebegini masih berleluasa berlaku antara suami isteri kerana tidak mengendahkan dengan halal haramnya, syirik ataupun tidak, apakah imbalan mahupun cagarannya apabila di ambil barangan sebegini. Risikonya pada pasangannya, pada rumahtangganya, risiko pada keluarganya dan paling penting sekali risiko pada tauhidnya sendiri.
Secara terang-terangan orang yang mengambil, mengamalkan atau pernah mengenakannya telahpun menduakan Allah swt. Rata-rata orang-orang akan berkata "tapi niat saya baik. Saya cuma nak ......". Yang lebih menyedihkan lagi, saya lihat benda-benda tersebut ataupun ilmu-ilmu sebegini boleh diperolehi dengan mudah di Internet seperti Carousell etc. Mereka menggunakan kata-kata yang meyakinkan orang-orang yang berminat seperti "ini hanyalah sebagai ikhtiar semata-mata, yang menjadikannya berlaku hanyalah Allah swt". Saya dapati ramai yang like dan review yang baik tentang penggunaan benda-benda ataupun ilmu-ilmu tersebut.
Ada 3 kategori sihir antara pasangan suami isteri yang akan saya senaraikan di sini.
​
1) SIHIR UNTUK MENDAPATKAN PASANGAN :
Akibat terlalu sukakan si fulan itu lalu disihirkan orang itu untuk mendapatkannya sebagai pasangan hidup. Dengan izin Allah swt maka dapatlah dia berkahwin dengan orang yang diidamkan itu. Namun apa yang dibuatnya tanpa dia sedari, dia sebenarnya telahpun menyihirkan pasangannya. Secara umumnya seperti yang kita sedia maklum orang-orang yang terkena sihir akan mudah jatuh sakit sehingga membawa kepada penyakit yang berat-berat, sering keluar masuk hospital. Jika Allah swt panjangkan jodohnya dan kurniakan zuriat, anak-anak mereka akan mudah terkena gangguan, sihir dan sebagainya.
Di sebabkan itu, bila terkena sihir, ramai yang menyalahkan orang yang menyihirkan mereka padahal punca utama sihir tersebut bermula dari dalaman keluarga itu sendiri. Si ibu ataupun bapa yang mengamalkan atau pernah menggunakan barangan tersebut perlu membuat pengakuan secara jujur kepada perawat barulah sihir tersebut dapat dikeluarkan dan terlepas dari ikatannya.
Namun masalahnya ada sesiapa yang berani membuat pengakuan ini? Mengaku mereka telah melakukan perkara-perkara syirik? Ingat jika anda membuat pengakuan ini bermakna anda membuat pengakuan di depan Allah swt. Barulah benda-benda itu dapat dikeluarkan kerana itu adalah barangan anda, secara tidak langsung anda sendiri telah menyihirkan pasangan anda serta anak-anak anda sendiri tanpa anda sedari!
​
2) SIHIR UNTUK MENGERATKAN KASIH SAYANG ANTARA SUAMI ISTERI:
-
Mungkin takut nanti pasangannya berubah hati, jatuh cinta pada orang lain dan tinggalkannya.
-
Mungkin juga rumahtangga mereka dalam keretakan.
-
Untuk menundukkan pasangannya agar takut dengannya dan mudah mendengar kata-katanya.
Walau apa juga alasannya, matlamat tidak menghalalkan cara. Cara anda salah dan haram, ia tetap syrik dan berdosa besar.
Anda telah mengenakan sihir pada pasangan anda. Dalam masa beberapa tahun sahaja, pasangan anda akan mudah jatuh sakit akibat dari barangan anda sendiri. Harus di ingat, apabila golongan jin telah masuk ke dalam badan manusia, mereka akan merosakkan system badan mangsa tersebut? Mangsa itu akan mudah jatuh sakit, berhari-hari, berminggu-minggu, berbulan-bulan bahkan bertahun lamanya.
​
3) SIHIR SUPAYA PASANGAN MUDAH DI NAIKKAN PANGKAT:
Ada yang melakukannya tanpa pengetahuan pasangannya. Mungkin pasangannya adalah "sole bread winner" untuk keluarga itu. Mungkin rasa tertekan dengan keadaan masalah pekerjaan, kegawatan ekonomi serta pembuangan pekerja, maka terdesak untuk melakukan perkara-perkara yang terkutuk ini untuk menyelamatkan pekerjaan pasangannya serta mudah dinaikkan pangkat.
​
Sama juga seperti di atas, anda sebenarnya telah menyihirkan pasangan anda tanpa anda ketahui. Anda pergi berjumpa bomoh ataupun sesiapa sahaja yang mengamalkan ilmu putih (menggunakan jin dalam rawatan meskipun membaca al Quran), anda telahpun memetarai perjanjian. Anda telah mengambil barang dari mereka.
​
Dalam ketiga-tiga kes-kes yang saya kongsikan di atas, kedua-duanya, anda dan juga pasangan anda perlu dirawat. Untuk diri anda, kerana anda telah menyihirkannya dan untuk membuang barangan yang anda telah mengambilnya sebelum ia turun menjadi Saka selepas kematian anda. Taubat dengan penuh penyesalan dan kesungguhan barulah keadaan akan pulih seperti sediakala dengan izin Allah swt setelah rawatan di jalankan pada anda dan pasangan anda.
​
Wallahu a'lam.